Skip to main content

Proud of You Aliyah (and Your Friend Too)

Menjaga amanah ialah sesuatu yang sangat saya titik beratkan kepada Aliyah. Benda-benda simple pada anak-anak macam jaga barang yang diberi dengan baik, simpan duit yang dibagi... Alhamdulillah, sejak kecil Aliyah nampak sifat amanahnya. Contohnya, barang permainan sentiasa dijaga dengan baik terutama hadiah dari orang. Percaya atau tidak, Aliyah masih lagi menyimpan hadiah dari Aunty Maznida - sebuah buku kain tentang "caterpillars" yang diberi masa umur dia 2 minggu.

Dua minggu lepas semasa kami berdua membeli hadiah anniversary di MPH, Aliyah minta untuk belikan kawan baiknya 2 batang pen. Katanya, kawan minta belikan dan akan dibayar. Lalu saya belikan dengan pesanan tegas yang ianya perlu dibayar. Harga 2 batang pen tersebut hanyalah RM10.60 (saya beri diskaun 60 sen). Harga bukan masalah. Saya mahu pastikan anak-anak diajar konsep amanah. Aliyah berjanji akan pastikan kawannya bayar.

Alhamdulillah, kawan dia juga seorang yang jujur. Selang 2-3 hari, Aliyah akan tunjukkan saya duit RM1 atau RM1.50 tanda kawannya telah membayar. Dia akan asingkan duit pemberian kawannya dari duitnya sendiri. Saya sebenarnya hampir lupa tentang pen 2 batang itu. Semalam Aliyah memberikan saya RM10 (dalam bentuk duit RM1 yang bergulung dan berlipat). "Kawan Aliyah dah bayar habis duit Mommy", katanya. Saya melihat duit yang membukit itu dengan rasa terharu. Amanah ialah satu sifat yang nampak mudah tapi bukan senang untuk dilakukan. Sebagai budak berumur 11 tahun, kawan Aliyah seorang yang jujur - sanggup mengorbankan sebahagian duit belanja sekolahnya untuk membayar balik duit saya demi 2 batang pen yang sangat disukai. Dan Aliyah pula, amanah dalam menjaga duit yang diberi walaupun dia mudah sekali boleh menggunakan duit tersebut untuk belanja di kantin atau kedai buku sekolah.

Muka Aliyah nampak sangat matured semasa dia memberi saya duit tersebut. Saya terima, ucapkan terima kasih. Kemudian, saya lipat elok-elok dan berikan dia semula. Hadiah dari Mommy, kata saya :)

Comments