Skip to main content

Perginya Kawan Lama

Berkawan ni memang pelik. Pelik sebab ada kawan yang kita dah berpuluh tahun tak jumpa tapi kasih sayang tetap utuh dan kuat. Sabtu malam dapat berita kawan baik zaman sekolah dan asrama dulu kembali ke Rahmatullah. Kami panggil dia Zul walaupun nama sebenarnya sedap sangat iaitu Nurzuliena. Sahabat baik. Sama-sama geng nakal.

Zul antara "ahli" geng bas sekolah Sri Aman duduk belakang. Memang kerja kita orang kacau driver bas, Pakcik Hamid, terutamanya hari Jumaat. Bosan duduk sekolah sampai jam 2.30 petang. Kita orang akan naik bas ikut Pakcik Hamid pergi solat Jumaat kat masjid. Mula-mula dia bising tak bagi, lama-lama dia redha saja 😅. Masa pakcik solat, kita orang akan jalan kaki pergi 7-11, beli slurpee dan minum dalam bas sambil borak-borak. Bukan buat apa pun...

Kalau di asrama pulak, seminggu paling kurang sekali pasti nama kita orang akan berkemundang di corong kena panggil masuk pejabat Ibu Mazuin. Ada saja benda tak kena. Ibu ni panggil nama ikut alphabetical order. Lepas nama I, nama Zul. Kadang-kadang bukan buat salah pun. Tapi salah seorang ahli geng nakal buat salah habis semua orang kena panggil. Ataupun, ada orang buat salah tapi Ibu tak tahu siapa, jadi jimat masa dia panggil semua yang dalam wanted list dia 😅. Masa Form 5 dulu Zul ni duduk bilik hujung betul-betul atas pejabat Ibu (senang nak panggil dan buat spotcheck!). Bila masuk time makan, dia dan Ikin akan jalan ke dewan makan dan singgah bilik-bilik geng nakal yang lain ajak semua orang pergi makan. By the time sampai dewan makan, dari berdua dah jadi ramai!

Itu semua kenangan masa zaman sekolah. Kita orang jalani hidup sebagai teenagers sama-sama daripada Form 1 sampai Form 5. Membesar sama-sama. Susah senang sama-sama. Gelak ketawa, menangis sama-sama. Sebenarnya I dah lama sangat tak jumpa Zul. Last jumpa masa dia baru dapat baby sulung. Entahlah, lepas tu memang lost contact. Ada satu dekad tu memang semua orang busy dengan life masing-masing. Dalam tahun lepas baru Zul masuk dalam WA Group. Tapi tetap tak berjumpa walaupun rancak berborak dalam group.

Minggu lepas dapat berita dia akan jalani operation buang brain tumor pada hari Selasa. Rupanya dah 3 tahun dia menderita sakit. Buat rawatan hospital swasta tapi tak dapat detect. Akhirnya tengah bulan lepas di HKL baru dapat tahu yang dia ada brain tumor yang dah agak serious. Lepas operation dia terus tak sedar hinggalah dia meninggal dunia Sabtu malam lepas Maghrib. 

Allah... kenangan dengan dia terus berputar dalam kepala. Berat sangat rasa hati ni. Semalam Hubbs teman ziarah di Tanjung Karang. Sepanjang perjalanan teringat masa I tinggal di Sungai Besar sampai Form 4. Bila cuti sekolah, either naik bas asrama atau public bus lompat-lompat tu, geng balik kampung memang dengan dia. Lepas Kuala Selangor menghampiri Tanjung Karang, Mas akan turun dulu. Depan sikit Zul pulak turun. 

Alhamdulillah semalam sempat jumpa dia. Walaupun dalam 5 minit lepas tu jenazah dah nak diangkat untuk disolatkan. Masa duduk di tepi jenazah, badan rasa lemah rasa nak terjelepuk. Masa tu baru terima hakikat yang sahabat baik dah pergi. Tenang sangat muka dia. Allah... hilang sudah kesakitan yang dia tanggung selama ni. I cium dahi dia yang sejuk, bisik kat dia, "Zul... Niza datang ni Zul...". Cantik sangat dia. 

Tambah sedih bila tengok anak-anak perempuan dia umur 11 dan 13 tahun menangis sampai tersedu-sedu. Yang nombor 2, anak lelaki tunggal, sebaya dengan anak comel dan akan ambik SPM lagi 2 minggu. Tak boleh bayangkan rasa macam mana... Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada ibu, suami, adik-beradik dan anak-anak sahabatku...

Allahumma firlaha warhamha wa'afiha wa'fu 'anha. Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia. 

Al Fatihah untuk sahabat tersayang Allahyarhamah Nurzuliena bt Sharif. 
Geng bas sekolah yang sempat menziarah sebelum urusan selesai. Yang berniqab tu Idie. Bertahun juga tak jumpa. Masing-masing mata sembab air mata keluar macam empangan pecah 😢.
Tak lama lepas tu yang lain sampai...
Semua yang datang sahabat sama sekolah. Lepas selesai ziarah kita orang ke Warung Ibu.

Comments